Halaman

Selasa, Disember 30, 2008

Cuti Sekolah Membosankan Bila...

Pernah tak anda semua terfikir yang satu hari nanti cuti sekolah kita akan jadi tak seronok macam selalu. Mari kita tengok apa sebab-sebabnya...

Cuti Sekolah Membosankan Bila...Elok je cuti sekolah bermula, masa tu jugaklah ayah kita kena kerja 'out station'. Sampai berminggu-minggu pulak tuh. Sah-sahlah terperap kat rumah je lah kita ni.

Cuti Sekolah Membosankan Bila...Kita tak dapat nak balik bercuti kat kampung pasal atuk dan nenek dah datang melawat kita dahulu. Macam nak tinggal lama pulak tu. Nampak gaya tak dapat nak mandi sungai, nak panjat pokok, nak makan buah kat kampung atuk...

Cuti Sekolah Membosankan Bila...Mak suruh kita jaga dan tengok-tengokkan adik yang baru tau nak berjalan, yang baru nak belajar fungsi tangannya sendiri dan baru nak mengenali keunikan barang-barang isi rumah. Dengan kebuasannya yang memerlukan pengawasan 24 jam, pasti ia akan mengganggu rutin kehidupan harian kita...

Cuti Sekolah Membosankan Bila...Kawan-kawan yang duduk berjiran, semua dah ada program masing-masing. Ada yang balik kampung la, bercuti kat pulau la. Camping dengan famili la. Tinggal la kita terkontang-kanting tanpa arah tujuan. Takkan nak ajak main bola dengan kucing peliharaan...


Cuti Sekolah Membosankan Bila...
Hujan lebat dari pagi sampai ke malam mula hari pertama cuti sekolah lagi. Musim tengkujuh dah bermula la ni. Bayangkanlah nak pergi mana pun tak boleh. Duduk kat dalam rumah ajelah. Nak tengok TV cerita kartun, hujan-hujan ni TV pulak tak dapat siaran tapi setiap bulan ayah kena jugak bayar bil...

Cuti Sekolah Membosankan Bila...Bila cuti sekolah, masa tu jugaklah kakak atau abang kita nak kahwin. Jadi, dalam masa sebulan ni famili kita akan sibuk nak uruskan majlis hingga tak ada sapa nak fikir pasal kita. Apa aktiviti kita nak buat nanti? Takkan hari-hari kita nak kena tolong buat bunga telur aje...

Cuti Sekolah Membosankan Bila...Satu hari ayah dan mak kita balik ke rumah dan masing-masing bagitau yang diaorang tak dapat bonus tahunan seperti tahun yang sudah. Jadi planning untuk pergi bercuti ke tempat peranginan sempena cuti sekolah ni terpaksa dibatalkan kerana tiada budget...

MuhammadS:"Petikan ini diambil dari Komik (ana muslim). Ia sekadar untuk renungan anda. Walaupun sekolah buka tak lama lagi, petikan ini mungkin boleh dijadikan pengajaran supaya kita merancang aktiviti yang berfaedah ketika cuti yang akan datang."

AMARAN: Artikel ini mengandungi bahasa pasar. Harap anda tidak meniru cara tulisan ini dalam karangan anda dan yang sewaktu dengannya.

Sabtu, Disember 27, 2008

Doa Awal Tahun (Hijrah)

Salam pembukaan,
kali ini Doa Awal Tahun akan menyusuli selepas doa akhir tahun.

Doa Awal Tahun disunatkan dan digalakkan baca pada 1 MUHARRAM setiap tahun. Masanya adalah selepas azan maghrib(1 MUHARRAM). Doa yang akan saya tulis ini hanya sekadar maknanya sahaja. Harap anda dapat memahami dan membacanya sambil menghayati dan mengamalkannya.

Maksudnya: "Segala puji bagi ALLAH Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan para sahabatnya sekalian."
"Ya ALLAH! Engkaulah Yang Abadi, Yang Qadim(sediakala), dan Yang Awal. Dengan limpah kurniaMu yang besar dan KepemurahanMu yang sejati, tahun yang baru ini tiba kepada kami. Maka kami pohonkan kepadaMu keterpeliharaan daripada syaitan yang direjam, para penolongnya dan tentera-tenteranya, dan kami pohonkan pertolongan menghadapi nafsu yang sentiasa menyuruh ke arah kejahatan dan pertolongan untuk melakukan amalan yang dapat menghampirkan kami kepadaMu sehampir-hampirnya, wahai Tuhan Yang Empunya Kebesaran dan Kemuliaan, wahai Yang paling Mengasihi di antara mengasihi ."
"Semoga ALLAH mencucuri kesejahteraan ke atas junjungan kami Muhammad SAW ahli keluarganya dan para sahabat sekalian. Dan segala pujian hanya bagi ALLAH Tuhan semesta alam."

Doa Akhir Tahun (Hijrah)

Salam pembukaan.

Doa akhir tahun ini disunatkan dan digalakkan baca pada akhir tahun Hijrah. Iaitu pada 30 ZULHIJJAH setiap tahun, sebelum masuk waktu maghrib(1 Muharram). Saya sekadar mampu menulis makna doa dan berharap agar anda dapat membacanya dan mengamalkannya. Semoga anda tidak terlepas dari membacanya.

Maksudnya(doa akhir tahun):

"Segala puji ALLAH Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan kami Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabatnya sekalian."
"Ya ALLAH, apa jua yang kami lakukan pada tahun ini yang engkau larang tetapi kami tidak bertaubat daripadanya, sedang engkau tidak meredhainya dan tidak melupakannya, namun engkau masih berlembut terhadap kami padahal engkau berkuasa untuk menyeksa kami sampailah kami bertaubat daripadanya setelah dengan beraninya kami menderhakaimu, maka sesungguhnya kami memohon keampunanmu, maka ampunkanlah kami. Dan apa jua yang kami lakukan pada tahun ini yang engkau redha dan engkau janjikan kami ganjaran pahala, maka kami pohonkan ya ALLAH, wahai tuhan yang pemurah dan empunya kebesaran dan kemuliaan agar engkau terimalah daripada kami dan janganlah diputuskan harapan kami terhadapmu, wahai Tuhan yang pemurah. "
"Semoga ALLAH mencucuri kesejahteraan ke atas junjungan kami Muhammad s.a.w. ahli keluarganya dan para sahabat sekelian. Dan segala puji hanya bagi ALLAH Tuhan semesta alam."

Huraian: Apabila umat Nabi Muhammad SAW membaca doa akhir tahun, maka Iblis akan lemah lalu menyapu dengan tanah (dan berkata), "aduhai, celaka betapa malang dan celaka diriku dengan kerugian". Lalu Iblis pun berpaling dan pergi.

Ahad, Disember 14, 2008

Orang Bakhil

Dari Hussain bin Ali, dari Nabi Muhammad S.A.W., sabdanya:
"Orang yang bakhil ialah orang yang ketika disebut namaku disisinya ia tidak mengucapkan selawat kepadaku."


Kesimpulannya
; Sesiapa yang tidak berselawat ketika nama Nabi Muhammad S.A.W. disebut maka orang tersebut merupakan manusia yang bakhil pada pandangan Islam. Berselawat ini juga merupakan satu tuntutan yang kita perlu buat.

Pada masa kini jarang kita mendengar orang mengucapkan selawat kepada nabi ketika nama Baginda disebut. Persoalannya adakah mengucapkan selawat kepada Nabi Muhammad S.A.W. SUSAH ??? Salah? Berdosa?

Selawat kepada Nabi Muhammad S.A.W. merupakan salah satu ibadah yang mulia dan mendapat pahala besar jika kita mengucapkannya.
Bahkan merupakan satu ucapan yang mudah serta tidak memerlukan tenaga yang banyak, dan hanya memerlukan hati yang ikhlas untuk mengucapkannya.

Harap anda dapat memahami petikan ini serta mengamalkannya dan meyebarkannya kepada orang lain.

Sekian, salam penutup.

Jumaat, Disember 12, 2008

Fadhilat Surah Al-Kahfi

Hari jumaat merupakan penghulu segala hari. Perkara ini mungkin biasa didengari oleh anda. Tetapi apakah amalan yang boleh kita amalkan pada penghulu segala hari...

Sekarang saya ingin memberitahu ataupun mengingatkan anda salah satu amalan sunah yang dilakukan oleh Nabi MUHAMMAD S.A.W. Iaitu membaca Surah Al-Kahfi pada hari Jumaat.

Daripada Umar berkata: Nabi SAW telah bersabda:
"Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka bersinarlah cahaya daripada bawah kakinya hingga ke langit. Untuknya cahaya dihari kiamat dan diampunkannya antara dua jumaat" (HR. Ibnu Katsir)


Daripada Mandzur Ibnu Zaid, Ibnu Khalid Al Juhani dari Ibnu Al Hussein dari bapanya daripada Ali Marfu'an:
"Sesiapa membaca surah Al Kahfi pada hari Jumaat maka dia dihindari daripada segala fitnah selama lapan hari, dan jika Al-dajjal muncul, maka terhindar dia daripadanya" (HR. Ibnu Katsir)

Kesimpulannya, pada hari Jumaat disunatkan untuk umat Islam membaca Surah Al-Kahfi. Banyak kelebihan yang ada apabila kita membacanya.

Rasulullah SAW selalu membaca surah Al-Kahfi pada malam Jumaat. Oleh itu membaca surah Al-Kahfi merupakan salah satu sunnah nabi dan kita digalakkan untuk mengamalkannya. Pada kebiasaanya orang Melayu akan membaca Surah Yassin pada malam Jumaat sebagai adat. Perbuatan ini memang baik dan tidak salah. Sebagai seorang Islam kita mestilah berusaha meningkatkan amalan kita dari semasa ke semasa. Oleh itu cuba kita tukar bacaan dari surah Yassin kepada surah Al-Kahfi pada malam Jumaat. Kerana melakukan amalan sunnah nabi lebih utama daripada melakukan amalan sunat yang lain.

Sekian sahaja setakat ni. Apa yang salah harap anda dapat menegur dan membetulkannya dan jika anda ada terkecil hati harap maaf. Saya sebagai manusia biasa tidak lari dari kesilapan. Harap anda dapat maafkan.

Sekian, salam penutup.

Isnin, Disember 08, 2008

Ulasan - Sultan Muhammad Al-Fateh

Assalamualaikum,
Alhamdulillah dapat kita bertemu lagi. Pada kali ini saya ingin mengulas sedikit mengenai Sultan Muhammad Al-Fateh.

Baginda merupakan seorang anak tunggal raja(Sultan Murad). Kelahiran baginda disambut dengan meriah oleh penghuni istana. Sultan Murad telah mengadakan kenduri akikah pada kesokan harinya dengan mengorbankan berpuluh-puluh ekor kambing dan unta

Nama "Muhammad" telah diberikan oleh ayahandanya Sultan Murad, bersempena nama Nabi Muhammad SAW. Nama yang membawa erti yang terpuji.

Ulama' penasihat yang dilantik untuk mendidik Sultan Muhammad ialah Syeikh Syamsudin al-Wali. Manakala yang bertanggungjawab mengajar ilmu kepahlawanan adalah Panglima Tharhan.

Khamis, Disember 04, 2008

Antara adab belajar

Belajar juga turut mempunyai adab. Perkara ini amat penting supaya ilmu yang ditimba diberkati oleh ALLAH.

Salah satu adab belajar yang hendak dibangkitkan ialah, belajar dengan berguru.

Belajar dengan berguru bermaksud kita perlulah belajar di hadapan seorang guru. Kata lain kita perlu belajar sesuatu ilmu dengan berpandukan oleh seorang guru sekurang-kurangnya. Sebagai seorang islam kita ditegah untuk belajar tanpa guru. Apabila kita belajar sesuatu ilmu tanpa guru, ilmu yang kita pelajari mungkin akan disalah fahami.

Antara contoh perbuatan yang bercanggah dengan adab belajar di atas ialah belajar dari pembacaan buku, internet, dan lain-lain lagi. Memang tidak dinafikan bahawa pada zaman moden kini yang berteknologi tinggi mempunyai banyak sumber/kaedah untuk menyebarkan ilmu, tetapi untuk mengelak daripada salah faham kita perlulah belajar dengan guru. Tidak kira walaupun di mana kita belajar.

Akhir tulisan saya memohon maaf jika berlaku kesilapan tulisan ataupun fakta. Harap mana yang kurang/salah dapat ditegur.

Sekian...